ALOR GAJAH: Seorang peniaga kelapa sawit mengalami kerugian RM285,000 selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud melalui iklan ditawarkan di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata pada 24 April lepas, mangsa berusia 46 tahun yang ketika itu berada di rumah, terlihat iklan pelaburan syarikat menjanjikan pulangan 20 peratus setiap minggu.

"Pengadu berhubung dengan suspek yang mengaku namanya 'Annie' di talian WhatsApp sebelum membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM285,000 ke dalam tiga akaun bank berlainan.

"Mangsa juga telah log masuk ke laman web suspek dan terperdaya dengan tawaran yang menunjukkan telah terima 20 peratus untuk minggu pertama keuntungan pelaburan dan menyebabkan pengadu menambah pelaburan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, pengadu kemudiannya menyedari laman web tersebut tidak boleh diakses dan membuat laporan polis setelah tidak mendapat keuntungan seperti dijanjikan malah mendapati wang modalnya juga lesap.

Sementara itu, Arshad berkata dalam kes berlainan, seorang pembantu makmal hospital mengalami kerugian RM120,000 selepas ditipu pelaburan tidak wujud.

Beliau berkata mangsa seorang wanita berusia 29 tahun telah berjumpa dengan seorang lelaki menerusi laman Facebook pada November 2020 untuk memulakan urusan dalam skim pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan kepadanya.

"Pengadu berasa yakin dan percaya untuk menyertai pelaburan tersebut, kemudiannya pada 19 Nov 2020, mangsa memasukkan wang berjumlah RM85,000 ke dalam akaun bank suspek di sebuah bank di Masjid Tanah kemudian memasukkan pula wang berjumlah RM35,000 ke dalam akaun seorang lelaki lain di sebuah bank di Alor Gajah.

"Wanita itu turut dijanjikan keuntungan lima peratus setiap bulan iaitu RM4,038 namun pengadu baru mendapat pulangan lebih kurang RM12,114 untuk tempoh tiga bulan," katanya.

Beliau berkata pengadu mendakwa tidak menerima keuntungan pelaburan yang dijanjikan selepas itu dan bertindak membuat laporan polis.

Katanya, kedua-dua kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA